Monday, 21 September 2020

updated 1:27 PM UTC, Sep 21, 2020

Putrajaya bakal miliki Masjid berkonsep Al-Quran

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Putrajaya bakal memiliki sebuah lagi Masjid dengan kapasiti 3,000 jemaah, dilengkapi galeri Al-Quran 30 Juzuk dan ruang pameran sirah-sirah Islam.

Pembinaan masjid ketiga itu dijangka menelan belanja sebanyak RM45 juta menerusi cadangan pembangunan Perkampungan Al-Quran di Presint 14, Putrajaya.

Jelas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menjadi hasrat pihaknya untuk memperluaskan peranan dimainkan Nasrul Quran iaitu iaitu pusat menyalin dan mencetak Al-Quran kedua terbesar di luar Arab Saudi, selaras usaha mewujudkan perkampungan Al-Quran tersebut.

kompleks itu juga akan dilengkapi dengan pusat tijarah atau pusat e-perniagaan, kiosk dan bazar untuk keperluan pelawat dan pengunjung.

Selain itu, Pusat Sains Al-Quran dan Sirah dilengkapi teknologi moden dan terkini seperti panel skrin sentuh interaktif dan paparan hologram akan turut dibangunkan dengan kos pembinaan RM25 juta bagi memudahkan pengunjung mengenali dan memahami Al-Quran secara lebih mudah dan menarik.

Fasa Kedua pembangunan perkampungan itu akan dilaksanakan dari tahun 2022 ke 2025 bagi memperlengkapkan konsep perkampungan tersebut, termasuk pembentukan institut Al-Jouf dan Al-Quran, menelan belanja kira-kira RM39.5 juta.

Turut akan dibina Pusat Seni Mushaf dengan kos perbelanjaan RM20 juta untuk menghasilkan produk-produk kraf dan keusahawanan.

Nilai keseluruhan perbelanjaan lebih RM100 juta itu telah dihantar untuk penilaian dan kelulusan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.