Logo

4,286 Individu telah pulang dari luar negara ditempatkan di 16 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam

PUTRAJAYA, 2 Ogos - Sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 4,286 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan negara.

Kesemua mereka telah ditempatkan di 16 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan media memaklumkan, daripada jumlah itu, 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Mereka telah pulang dari 24 negara, antaranya Filipina, Taiwan, China, Belanda, Papua New Guinea dan Australia.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 2,263 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

28 individu telah diambil tindakan oleh PDRM kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin di rumah yang ditetapkan.

PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu tebabit bagi memastikan SOP dipatuhi.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.