Friday, 14 August 2020

updated 1:11 PM UTC, Aug 14, 2020

Bantuan Prihatin Elektrik, TNB selaras semula bil April hingga Jun

  • Published in Berita Semasa

ANGKASAPURI, 7 Julai - Tenaga Nasional Berhad akan membuat penyelarasan semula bil elektrik bagi bulan April, Mei dan Jun berikutan diskaun tambahan yang diumumkan di bawah Bantuan Prihatin Elektrik BPE.

Ketua Pegawai Runcit TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, pengguna akan mendapat penyata terperinci bagi ketiga-tiga bulan tersebut berserta bil semasa Julai dalam tempoh terdekat.

Di bawah BPE tambahan, kesemua 7.66 juta pengguna domestik akan menikmati penggunaan elektrik percuma hingga RM77 sebulan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, penggunaan elektrik antara 601 hingga 900 per kilowatt jam sebulan akan diberi diskaun 10 peratus, tambahan 8 peratus daripada kadar diskaun sedia ada.

Tambahnya, pelanggan akan menerima penyata terperinci dalam tempoh tujuh hari selepas bacaan meter dibuat.

Pelanggan juga boleh menyemak melalui aplikasi myTNB atau laman sesawang syarikat tersebut.

Kumpulan pertama pelanggan meliputi 450,000 pengguna dijangka menerima penyata terperinci bermula 10 hari bulan ini.

Megat Jalaluddin berkata demikian selepas program Selamat Pagi Malaysia.