Friday, 7 August 2020

updated 4:04 PM UTC, Aug 7, 2020

Buku hina jata negara diharamkan

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 2 Julai - 'Memudaratkan ketenteraman awam'

Buku dengan muka depan memaparkan gambar menghina jata negara DIHARAMKAN.

Buku bertajuk 'Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia' itu, dilarang dicetak, diimport, dihasilkan dan diterbitkan semula atau dijual, diedar dan dimiliki.

Menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 1 Julai dan disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara, pengharaman terhadap buku tersebut diambil mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020.

Selasa lalu, 313 naskhah buku terbabit dirampas polis dalam serbuan ke atas syarikat penerbitan terlibat di Petaling Jaya, susulan 32 laporan polis yang diterima.

Sebelum itu, buku tersebut tular di laman Facebook selepas muka hadapannya memaparkan lukisan mirip Jata Negara dengan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.