Saturday, January 18, 2020
updated 12:28 PM UTC, Jan 18, 2020

PTPTN peruntukkan RM634,000 bagi menjayakan program "Back To School" tahun ini

  • Published in Berita Semasa

SIMPANG RENGGAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, PTPTN memperuntukkan RM634,000 bagi menjayakan program "Back To School" tahun ini melibatkan 3,000 penerima di 7 negeri.

Ia merupakan salah satu Program Khidmat Sosial Korporat, CSR PTPTN yang telah dilaksanakan sejak 3 tahun lalu bagi membantu golongan memerlukan. 

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid memberitahu, negeri-negeri terpilih merupakan Johor, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Kelantan, Kedah dan Perlis. 

Beliau sebelum itu menghadiri Program Back To School Parlimen Simpang Renggam, yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. 

Seramai 600 penerima terpilih melibatkan peruntukan sebanyak 97 ribu ringgit di kawasan parlimen berkenaan.
 
Dalam majlis sama, turut diperkenalkan sistem My Smart ID kendalian Syarikat Pertubuhan Bukan Kerajaan NGO - Helogang Sendirian Berhad.

Ia berpotensi merekodkan kehadiran pelajar sekolah secara digital selain turut dilengkapi sistem 'e-wallet'. 

Melalui sistem 'e-wallet' itu, ibu bapa boleh memantau pembelian anak-anak sekaligus dapat menurunkan kadar jenayah peras ugut dalam kalangan pelajar.

Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Renggam menjadi lokasi pertama percubaan sistem berkenaan.