Sunday, 26 June 2022

RM1.2 juta dadah dirampas, sindiket didalangi warga asing

  • Published in Jenayah

PULAU PINANG, 9 Jun - Dua sindiket pengedaran dadah bernilai kira-kira RM1.2 juta berjaya ditumpaskan Polis Pulau Pinang.

Selain dadah jenis heroin base bernilai kira-kira RM331,000 turut dirampas syabu, pil WY, erimin 5 dan ekstasi dalam siri serbuan di sekitar negeri ini pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan, tangkapan dibuat terhadap lima suspek berusia antara 24 hingga 45 tahun termasuk 3 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang pagi tadi.

Jelasnya lagi, operasi pertama dibuat di sekitar kawasan Seberang Perai Tengah dan Bayan Baru sebelum menahan 4 suspek warganegara Myanmar bersama dadah bernilai hampir RM800,000.

Bagi serbuan kedua, polis berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun bersama dadah bernilai hampir RM465,000.

Selain itu, polis turut menyita wang tunai, dua buah kenderaan dan barangan kemas bernilai hampir RM127,000.

Semua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.