Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

SPRM nafi dakwaan pembantu Syed Saddiq

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 6 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak sekeras-kerasnya dakwaan kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Kehormat Youth Power Club, Siti Nurul Hidayah dalam rakaman video sebagaimana yang disiarkan menerusi Facebook Bersatu TV semalam.

Menurut Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Norazlan Mohd Razali, kenyataan menyebut penama diugut, diherdik dan dipaksa untuk memberikan keterangan sebagaimana yang dinyatakan dalam video berkenaan adalah tidak benar.

Dakwaan mengatakan beliau telah dikerumuni empat atau lima pegawai lelaki dan diugut adalah rekaan semata-mata.

Sebaliknya sepanjang proses rakaman pernyataan, beliau ditemani dua pegawai wanita.

Jelas beliau, Siti Nurul Hidayah hadir secara sukarela sebagai antara saksi utama yang telah memberikan keterangan penting dalam membantu SPRM menyiasat kes ini.

Berikutan dengan itu SPRM tidak akan bertolak ansur atau takut dengan sebarang ugutan daripada mana-mana pihak kerana mempunyai bukti bahawa tohmahan itu tidak benar.

Sehubungan itu, SPRM akan membuat satu aduan polis terhadap tohmahan tersebut, sekaligus meminta pihak polis menyiasat perkara itu setelus-telusnya.

SPRM bersedia memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam perkara ini.