Saturday, July 11, 2020

updated 9:19 AM UTC, Jul 11, 2020

12 kes COVID-19 di Sabah sedang dirawat di enam hospital pakar

  • Published in Berita Semasa

KOTA KINABALU, 1 Jun - Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi memaklumkan 12 kes COVID-19 sedang dirawat di enam hospital pakar seluruh negeri itu, setakat semalam.

Jumlah itu adalah daripada 346 kes COVID-19 direkodkan di Sabah, manakala selebihnya iaitu 329 merupakan kes sembuh dan lima kes kematian.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan juga memaklumkan, tiada kes baharu dilaporkan di negeri ini selama dua hari berturut-turut.

Namun, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengingatkan bahawa bilangan kes COVID-19 yang dilaporkan semakin berkurangan bukan bermakna wabak itu telah berakhir.

Orang ramai dinasihat untuk terus mengamalkan norma baharu tidak kira sama ada di rumah, kedai atau di mana sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Dr Christina berkata jangkitan COVID-19 dalam kalangan individu merokok bakal mengakibatkan komplikasi lebih teruk berbanding mereka yang tidak merokok.

Justeru, JKNS berharap wabak COVID-19 memberi permulaan baharu kepada semua perokok serta kesedaran generasi muda untuk menjauhi sebarang bentuk amalan merokok demi kesihatan diri dan keluarga.

JKNS menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok di 23 hospital kerajaan dan 58 klinik kesihatan di seluruh negeri.