Saturday, July 11, 2020

updated 8:49 AM UTC, Jul 11, 2020

Lelaki maut dirempuh pemadu mabuk

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu lelaki mabuk.

Kejadian kira-kira 1.30 pagi di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara itu menyebabkan Mohamed Zaili Mohamed, 44, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya dalam satu kenyataan memberitahu, akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh ke sebelah kiri bahu jalan manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Suspek kemudiannya memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dekat kawasan itu dan ditahan orang awam.

ACP Zulkefly berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Antarabangsa, Ampang.

Manakala pemandu kereta yang bekerja di kedai aksesori kereta, dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan keputusan saringan ujian mendapati, kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.