Saturday, July 11, 2020

updated 8:59 AM UTC, Jul 11, 2020

COVID-19: Sampel ujian saringan individu masuk ke Kelantan, negatif

  • Published in Berita Semasa

KOTA BHARU, 1 Jun - Sampel ujian saringan COVID-19 terhadap 1,800 individu yang melakukan rentas negeri masuk ke negeri itu sebelum sambutan Aidilfitri lalu didapati negatif.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pengambilan sampel berkenaan dibuat di sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) selama tiga hari bermula 21 Mei lepas.

Dalam perkembangan sama, Datuk Dr Zaini memaklumkan, ujian saringan turut dilakukan terhadap lebih 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) di depot tahanan Tanah Merah dan Penjara Pengkalan Chepa.

Keputusan diperoleh juga adalah negatif.

Namun pihaknya akan meneruskan proses pengambilan sampel setiap kali berlaku kemasukan PATI ke depot tahanan dan penjara.

Beliau ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas perkembangan wanita mengandung yang positif COVID-19 di Kuala Krai, beliau berkata pesakit masih menerima rawatan seperti biasa.

Ujian saringan ke atas 30 kontak rapat wanita tersebut, sama ada yang tinggal di Kuala Krai dan Ampang, Selangor didapati negatif.