Monday, June 1, 2020

updated 2:10 PM UTC, Jun 1, 2020

Tiga peniaga di Perak dikompaun ingkar ketetapan harga kawalan musim perayaan

  • Published in Berita Semasa

IPOH, 23 Mei - Tiga peniaga dikenakan kompaun serta merta oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP) Perak terhadap tiga premis sekitar Ipoh, pagi tadi.

Kompaun dikenakan ekoran ingkar pada ketetapan harga kawalan musim perayaan selain gagal mematuhi pendedahan maklumat senarai barang ganti dan perkhidmatan pembaikan ditetapkan.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri, V. Ravichandran; serbuan pertama di sebuah pasar raya mendapati premis berkenaan menjual ayam standard pada harga RM7.70 sekilogram berbanding RM7.50 yang ditetapkan.

Manakala, pemeriksaan di premis kedua pula mengesan seorang peniaga runcit menjual cili merah pada harga RM18 berbanding harga kawalan hanya RM13.

Kedua-dua premis, masing-masing dikompaun sebanyak RM5,000 dan RM2,500 kerana gagal mematuhi dan melanggar Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Seorang lagi peniaga yang juga pemilik bengkel dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002.