Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

KPLB komited bantu usahawan luar bandar pasar produk ke luar negara menerusi 'Program Desa Ke Global'

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar KPLB komited membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka ke luar negara menerusi 'Program Desa Ke Global'.

Usaha berkenaan dilihat mampu melahirkan ramai usahawan ke peringkat antarabangsa menerusi pemasaran produk tempatan yang setaraf produk luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, di bawah program tersebut, usahawan yang terpilih akan dibawa ke ekspo dan pameran keusahawanan di luar negara bagi memberi mereka pendedahan tentang kehendak pasaran.

Antaranya; Dubai, Jepun, Thailand dan Filipina.

Ke arah itu ujar beliau, para usahawan akan diberi bimbingan dan latihan, bagi memasarkan produk mereka secara dalam talian seperti Shopee, Lazada dan E-Bay.

Selain itu, KPLB dalam usaha menempatkan produk-produk tempatan di enam lapangan terbang antarabangsa di negara ini; bagi memperkenal dan mempromosi produk kepada pelancong asing.

Datuk Seri Rina ditemui pada Majlis Makan Malam Gala 'Lang International Corporate Titan Awards 2019' di ibu negara bagi meraikan pemenang yang berjaya melakar kecemerlangan bagi sektor perusahaan masing-masing.