Sunday, 1 August 2021

updated 2:02 AM UTC, Aug 1, 2021

Dr Luqman Abdullah Mufti Wilayah kelapan

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 16 Mei - Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Dr Luqman Abdullah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu.

Perkara berkenaan disahkan menerusi Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menerima kunjungan Dr Luqman selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pagi tadi.

Menurut Datuk Dr Zulkifli, yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, majlis serah terima tugas antara beliau dan Dr Luqman berlangsung dalam suasana yang ringkas dan mahabbah.

Dalam masa sama, Datuk Dr Zulkifli turut memohon kemaafan kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan andai terdapat tutur kata, tindakan mahupun apa jua salah dan silap sepanjang tempoh enam tahun memegang jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Jawatan Mufti Wilayah Persekutuan kosong, selepas Datuk Dr Zulkifli dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sejak 9 Mac lepas.