Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Ujian poligraf terhadap tujuh saksi utama kes kematian Muhammad Adib

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan mesin poligraf terhadap 7 orang saksi utama yang dipanggil semula berhubung kes kematian anggota bomba,Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, ia susulan cadangan dari pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertujuan memastikan saksi yang dipercayai berada di lokasi kejadian memberi kenyataan yang sahih ketika inkues berjalan.

Tambah Datuk Huzir, pihaknya baharu sahaja merakam kenyataan patologis dari Hospital Kuala Lumpur (HKL)yang menjalankan post mortem Adib.

Dua lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan iaitu bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid dan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM, Ir Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Harian PDRM di ibu negara.

Secara keseluruhan, 30 individu telah tampil memberi keterangan sepanjang prosiding inkues Adib bermula Februari lalu.