Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Lucut harta MCA Pahang, GBG1M - Mahkamah Tinggi KL tetapkan 20 Dis untuk pendengaran permohonan warta notis pihak ketiga

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 20 Dis untuk pendengaran permohonan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan ke atas wang lebih 800 ribu yang disita daripada MCA Pahang.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama bagi pendengaran mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan ke atas wang Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia (GBG1M) berjumlah RM170,000 ringgit.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh memberitahu, perintah dipohon mengikut Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001

Pewartaan notis itu bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.


Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.