Logo

Perlanjutan PKPB, ini antara inti patinya


PUTRAJAYA, 10 Mei - 
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan selama 4 minggu sehingga 9 Jun ini.

Perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya juga tidak dibenarkan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya hari ini.

"Semua peraturan yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun 2020."

"Dalam tempoh ini, ada beberapa perayaan yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. Jadi, saya nak meningkatkan saudara saudari tentang larangan pergerakan antara negeri masih berkuatkuasa dalam tempoh ini."

Tambahnya lagi, tindakan ini adalah demi menjaga keselamatan dan kesihatan.

"Perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya adalah tidak dibenarkan."

Aktiviti ziarah dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri sama bagaimanapun dibenarkan.

Namun, ia dihadkan kepada maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Tan Sri Muhyiddin mengingatkan bahawa setiap keluarga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan seperti penjarakkan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan cecair pembasmi kuman.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan agar orang ramai mengelakkan diri daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup.

Manakala bagi pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja diberi kelonggaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

Ia boleh dimohon melalui aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis berdekatan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.