Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Pengusaha tanaman ketum dinasihatkan supaya memusnahkan tanaman mereka dengan segera sebelum pindaan Akta Racun 1952 diluluskan

  • Published in Berita Semasa

ALOR SETAR - Pengusaha tanaman ketum dinasihatkan supaya memusnahkan tanaman ketum milik mereka dengan segera sebelum pindaan Akta Racun 1952 diluluskan di peringkat parlimen.

Di bawah pindaan tersebut, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang mengusahakan tanaman ketum sama ada secara kecil-kecilan atau bagi tujuan komersil.

Ketua Pengarah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata masalah ketum kini menjadi satu wabak yang amat serius dan perlu ditangani dengan segera.

Bukan sahaja golongan dewasa, malah aktiviti meminum air ketum didapati turut melibatkan golongan remaja dan kanak-kanak.

Sehingga kini, pihaknya mengesan kawasan seluas 340 ekar ditanam dengan pokok ketum dipercayai untuk tujuan komersial.

 Beliau bercakap kepadapemberita selepas mengadakan sesi Dialog bersama 52 pengusaha tanaman KetumKedah dan Perlis di Jerlun, Kedah.

Tambah Datuk Seri Zulkifli, Kedah dan Perlis, antara negeri yang mempunyai jumlah kawasan tanaman ketum tertinggi di negara ini.

Sementara itu, ahli-ahli parlimen akan diberi penerangan sebaiknya agar menyokong usul bagi meluluskan pindaan akta Racun 1952.