Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah kematian suspek Syria - PDRM

  • Published in Berita Semasa

KUANTAN - Bedah siasat mendapati tiada kesan fizikal atau unsur jenayah dalam kes seorang suspek lelaki warga Syria yang meninggal dunia semasa sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada 12 Nov lepas.

Menurut Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan, perkara itu disahkan oleh doktor yang menjalankan bedah siasat terhadap jenazah suspek berusia 22 tahun itu, yang ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa memiliki senjata api palsu.

Datuk Abd Jalil berkata polis masih menunggu keputusan Jabatan Kimia terhadap beberapa sampel yang diambil daripada suspek bagi membantu mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

Pihaknya juga telah memaklumkan kematian pelajar di sebuah kolej di ibu negara berusia 22 tahun itu kepada pihak kedutaan Syria dan wakil kolej.

Suspek ditahan pada 4 petang, 2 Nov lepas di Jalan Beserah , namun dimasukkan ke HTAA sehari kemudian selepas mengadu tidak sihat sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.55 pagi, 12 Nov semasa sedang dirawat di hospital itu.