Wednesday, November 20, 2019
updated 12:42 PM UTC, Nov 20, 2019

LZS salur bantuan RM29.7 juta taja 293 Pelajar, 173 daripada mereka lanjut pengajian di Mesir

  • Published in Berita Semasa

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menyalurkan sebanyak RM29.7 juta bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian ke universiti-universiti di rantau Asia Barat sejak diperkenalkan pada 2012.

Seramai 293 pelajar tajaan telah menerima manfaat berkenaan yang terdiri daripada 173 pelajar di Mesir.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, LZS menyalurkan bantuan pendidikan kepada mahasiswa luar negara dalam kalangan asnaf fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah.

Katanya, bantuan yang diberikan adalah berbentuk Bantuan Dermasiswa Luar Negara Asia Barat membabitkan kuota 50 pelajar di Mesir, Jordan dan Maghribi dengan nilai peruntukan RM4 juta setiap tahun.

LZS turut menyalurkan Bantuan Umum Pelajaran Pelajar Luar Negara dengan keutamaan diberikan kepada keluarga berpendapatan tidak melebihi had kifayah RM7,000 dan Bantuan Keperluan Pembangunan Pendidikan Luar Negara diberikan kepada institusi dan agensi Islam luar negara yang bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan LZS.

Beliau menjawab soalan Adun Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada Sidang Dewan Negeri, di Shah Alam.

Zawawi ingin tahu adakah LZS ada menyalurkan bantuan kepada mahasiswa yang melanjutkan pengajian di luar negara.