Wednesday, November 20, 2019
updated 11:04 AM UTC, Nov 20, 2019

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong tiba di Tokyo bagi mengadakan lawatan khas empat hari

  • Published in Berita Semasa

TOKYO - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Tokyo hari ini bagi mengadakan lawatan khas empat hari ke Jepun.

Pesawat khas membawa Seri Paduka berdua mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada pukul 5.28 petang waktu tempatan atau 4.28 petang waktu Malaysia. 

Ketibaan Seri Paduka baginda disambut Duta Malaysia ke Jepun, Dato' Kennedy Jawan dan isteri, Datin Josephine Anak Dagang serta Wakil Kementerian Luar Negeri Jepun.

Menurut Kenyataan Wisma Putra, lawatan khas itu merupakan lawatan pertama Seri Paduka berdua selepas Al-Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lalu.

Tengah hari esok, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual berangkat menghadiri Majlis Pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo.

Naruhito dilantik sebagai Maharaja Jepun pada 1 Mei lalu, iaitu sehari selepas bapanya, Maharaja Emiritus Akihito turun takhta.