Tuesday, October 22, 2019
updated 1:15 AM UTC, Oct 22, 2019

Jangka keuntungan sekitar RM5 bilion : Khazanah Nasional berjaya kurangkan hutang kira-kira RM8 Bilion

  • Published in Berita Semasa

 

PARLIMEN - Khazanah Nasional dijangka kembali mencatat keuntungan sekitar RM5 bilion tahun ini, berbanding kerugian RM6.3 bilion Tahun Kewangan 2018.

Jelas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, setelah hampir setahun di bawah mandat baharu, Khazanah berjaya mengurangkan hutang kira-kira RM8 bilion iaitu daripada RM55 bilion kepada RM47 bilion.

Hutang itu dijangka terus dikurangkan kepada RM35 bilion hingga RM40 bilion dalam tempoh jangka sederhana.

Tambah beliau lagi, berikutan Khazanah tidak menerima sebarang suntikan dana daripada sumber luar untuk pelaburannya, hasil pelupusan aset merupakan sumber utama untuk pelaburan baharu Khazanah.

Sejak Mei 2018 sehingga Jun 2019, Khazanah telah melaksanakan pelupusan aset berjumlah kira-kira RM18.8 bilion, iaitu RM3.2 bilion di antara Mei hingga Disember 2018 dan RM15.6 bilion di antara Januari hingga Jun 2019.

Datuk Seri Mohamed Azmin menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah ketika sesi pertanyaan jawab lisan semalam.