Tuesday, October 22, 2019
updated 1:15 AM UTC, Oct 22, 2019

Majlis Tindakan Perubahan Iklim Kebangsaan tangani perkara-perkara kesan perubahan iklim - Tun M

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Terdahulu ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM) 2019, Perdana Menteri mengumumkan, Majlis Tindakan Perubahan Iklim Kebangsaan akan ditubuh bagi menangani perkara yang mendesak berhubung isu tersebut.

Langkah itu jelasnya, selaras komitmen Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengoptimumkan perkhidmatan awam serta mengurangkan perbelanjaan.

Selain itu, Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia juga dijenama semula sebagai Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia.

Katanya, adalah penting bagi Malaysia berdaya tahan dan bersedia menghadapi kesan perubahan iklim.

Perdana Menteri turut memuji tindakan kementerian mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan yang memangkin pembiayaan swasta dalam pelaburan projek tenaga boleh diperbaharui.

IGEM 2019 menjadi platform memperkenal inovasi dalam industri hijau serta manfaat kepada pembangunan perniagaan industri hijau tempatan menerusi padanan perniagaan.