Saturday, 8 August 2020

updated 3:14 AM UTC, Aug 8, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan : Video kenduri, perakam ditahan

  • Published in Nasional



ALOR SETAR, 21 Mac
- Lelaki berusia 49 tahun yang merakam video sebuah majlis kenduri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, berjaya ditahan.

Turut ditahan, seorang lelaki berusia 60 tahun yang merupakan tuan rumah yang menganjurkan kenduri berkenaan. Kedua-dua mereka ditahan selepas video berkenaan tular di media sosial sehingga menimbulkan kecaman netizen.  Turut dirampas, 1 telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, suspek berusia 49 tahun ditahan di Kampung Pulau Bidin, Mukim Telaga Mas, Pokok Sena kira-kira pukul 7 malam tadi.

Manakala suspek kedua berusia 60 tahun ditahan di Kampung Pulau Binjal, Mukim Telaga Mas.

Siasatan awal mendapati, majlis yang diadakan pada 18 Mac lalu dihadiri antara 25 hingga 30 orang kenalan suspek.

Bagaimanapun, kesemua mereka dalam keadaan baik dan tiada tanda-tanda sakit atau demam.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyertai operasi Sekatan Jalan Raya di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar.

Klip video berdurasi 57 saat itu jelas turut mengandungi kata-kata yang mempersenda Perintah Kawalan Pergerakan dan dilihat berniat jahat.  

Kes disiasat dibawah Seksyen 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) 2020, Seksyen 7 (1) PPPB2020; Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.