Tuesday, October 22, 2019
updated 1:32 AM UTC, Oct 22, 2019

Siaran TV Analog di Utara dan Timur Semenanjung ditutup sepenuhnya pada malam 14 Oktober ini

  • Published in Berita Semasa

 

CYBERJAYA - Seluruh Semenanjung Malaysia akan beralih sepenuhnya kepada siaran televisyen Digital myFreeview dengan penutupan sepenuhnya siaran terrestrial analog di wilayah utara dan timur pada malam 14 Oktober ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia menandakan berakhirnya era penyiaran TV analog di semenanjung. Negeri-negeri di Wilayah Utara dan Timur terlibat, Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Siaran TV Digital myFreeview menjanjikan imej gambar yang lebih tajam, bunyi yang berkualiti tinggi dan perkhidmatan televisyen interaktif yang akan memacu keperluan ekonomi, sosial dan pendidikan negara serta rakyat.

Sebagai sebahagian fasa peralihan, wilayah tengah dan selatan telah pun melaksanakan proses peralihan itu 30 September lalu.

Menurut kenyataan MCMC lagi, fasa akhir penutupan siaran TV analog akan berlangsung di Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober ini.

Ia merupakan detik bersejarah buat negara ke arah era pendigitalan dalam landskap penyiaran sekali gus menandakan berakhirnya siaran TV analog yang ditawarkan secara percuma di Malaysia sejak 1963.