Monday, December 16, 2019
updated 5:28 AM UTC, Dec 16, 2019

KSM perkenal latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) separuh masa di Institut Latihan Perindustrian seluruh negara

  • Published in Berita Semasa

PUTRAJAYA - Ke arah meningkat jumlah pekerja mahir di negara ini, Kementerian Sumber Manusia memperkenalkan latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) separuh masa di semua Institut Latihan Perindustrian (ILP) di seluruh negara.

Jelas Menterinya, M. Kulasegaran, latihan TVET separuh masa tersebut yang bermula sejak sebulan lalu itu dibuka khusus kepada mereka yang mahu mendapatkan latihan dan bimbingan dari jam 5.30 petang hingga 11 malam.

M. Kulasegaran berkata pada tahun depan, ekonomi negara dijangka memerlukan kira-kira 1.6 juta pekerja mahir bagi mencapai status negara maju.

Justeru latihan TVET separuh masa berkenaan merupakan salah satu usaha yang diambil kerajaan bagi membantu meningkatkan jumlah pekerja mahir ke tahap 35 hingga 40 peratus pada tahun 2020.

Tambah beliau, latihan tersebut turut mendapat kerjasama Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

M. Kulasegaran ditemui media selepas merasmikan 'The Future Of TVET Occupational Standards And The 15th AASVET International Conference' (OSAIC 2019) di Putrajaya.

Ia dianjurkan bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran, Persatuan Akademik bagi Pendidikan dan Latihan Vokasional Asia ( AASVET) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Persidangan antarabangsa tersebut menjadi platform bagi memberi tumpuan kepada aspek piawaian pekerjaan TVET dan kelayakan dalam ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0.