Wednesday, September 18, 2019
updated 3:02 PM UTC, Sep 18, 2019

Ah long manipulasi iklan di laman sosial, peminjam terjebak tanpa sedar

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Menjebak peminjam tanpa sedar dalam kegiatan penipuan wang haram, dengan memanipulasi iklan di laman Facebook.

Demikian modus operandi terbaharu pemberi pinjaman wang HARAM atau "Ah Long" bagi memerangkap mangsa.

Kegiatan itu terbongkar selepas seorang mangsa membuat laporan polis, sebaik dimaklumkan pihak bank yang akaunnya disekat ekoran terdapat transaksi meragukan.

Jelas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad, peminjam diarah membuka akaun bank baharu, kononnya khusus untuk kemudahan potongan bayar balik pinjaman, dengan kad bank dipegang "Ah Long".

Namun setelah akaun itu menghadapi masalah akibat kegiatan transaksi haram yang menyalah guna akaun berkenaan, kad itu dipulangkan semula kepada peminjam.

Peminjam akhirnya menyedari menjadi mangsa penipuan setelah dimaklumkan pihak bank.

Susulan laporan itu, 7 suspek dipercayai ahli sindiket tersebut ditahan polis, hasil serbuan di Sentul dan sekitar ibu negara dua hari lepas.

72 keping kad ATM pelbagai bank dan 58 simkad telefon bimbit dipercayai milik mangsa-mangsa lain dirampas.