Wednesday, September 18, 2019
updated 1:31 PM UTC, Sep 18, 2019

TPM tiba di Jakarta beri penghormatan terakhir kepada BJ Habibie

  • Published in Berita Semasa
Foto FB TPM

JAKARTA - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Jakarta bagi menzahirkan penghormatan Malaysia kepada Indonesia yang berduka atas pemergian presiden ketiga, Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie.

Beliau tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma kira-kira jam 11.45 pagi waktu Indonesia Barat.

Ketibaan Datuk Seri Dr Wan Azizah bersama-sama Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar disambut Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.

Datuk Seri Dr Wan Azizah menziarahi jenazah di kediaman Allahyarham di Patra Kuningan, sebelum menghadiri majlis pengebumian di Taman Makam Pahlawan, Kalibata.

Jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara isterinya, Hasri Ainun Besari.

BJ Habibie meninggal dunia jam 6.05 petang semalam di Rumah Sakit Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto berikutan pelbagai masalah kesihatan.

BJ Habibie, 83 tahun, adalah presiden Indonesia ketiga menggantikan Presiden Soeharto bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.