Wednesday, September 18, 2019
updated 2:07 PM UTC, Sep 18, 2019

Malaysia berada pada kedudukan baik dalam menerajui penyelidikan dan pembangunan (R&D) ekosistem Kecerdasan Buatan (A-I) - Gobind Singh Deo

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Malaysia berada pada kedudukan yang baik dalam menerajui penyelidikan dan pembangunan (R&D) ekosistem Kecerdasan Buatan (A-I). 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, Malaysia juga akan memberi tumpuan kepada pembinaan infrastruktur yang kukuh dan selamat bagi memacu pembangunan ekosistem A-I negara.

Jelas Gobind, keupayaan itu berikutan kedudukan Malaysia sebagai negara yang memiliki masyarakat berbilang budaya dan agama sekaligus menyediakan persekitaran unik untuk ekosistem A-I.
Tambahnya, di Malaysia, A-I dibangunkan dengan menerap nilai-nilai etika demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat.

Gobind turut menjelaskan, dalam membina keupayaan A-I di Malaysia, kerajaan akan mengambil pendekatan yang praktikal bagi mendapatkan pulangan yang terbaik kepada pelaburan dalam bidang ini.

Penyertaan pihak kerajaan, rakan industri dan sektor swasta memainkan peranan penting bagi membolehkan negara bersaing dengan negara-negara maju.

Justeru, kerajaan akan terus memberi fokus utama berkaitan pembangunan bakat dalam bidang ini, sejajar keperluan negara untuk menambaik ekosistem teknologi A-I.

Tambahnya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) diyakini mampu dan akan terus memainkan peranan penting melalui kerjasama rapat dengan rakan industri serta institut-institut pengajian tinggi untuk penghasilkan bakat di dalam bidang AI bagi memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Tahunan Ke-3 'Next Big Tech Asia 2019' di ibu negara.