Wednesday, September 18, 2019
updated 1:31 PM UTC, Sep 18, 2019

Malaysia mengutuk keras kenyataan Perdana Menteri Israel berhubung rancangan memperluaskan pendudukan negara itu di Wilayah Palestin - Kementerian Luar

  • Published in Berita Semasa

PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk keras kenyataan oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berhubung rancangannya untuk memperluaskan pendudukan negara itu di Wilayah Palestin di Tebing Barat.

Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu akan menjejaskan sebarang usaha untuk membawa penyelesaian jangka panjang dan keamanan di Timur Tengah.

Langkah Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kementerian itu menegaskan bahawa Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, adalah wilayah Palestin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang diduduki Israel secara haram selama beberapa dekad lamanya sehingga sekarang.

Malaysia menggesa komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB bertindak tegas terhadap sikap negara itu yang jelas tidak menghormati peraturan undang-undang antarabangsa.

Netanyahu dilaporkan telah mengumumkan rancangannya untuk meluaskan pendudukan haram Israel di Tebing Barat sekiranya beliau dipilih semula pada pilihan raya minggu depan.