Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Malaysia sedia berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang ekonomi digital dengan negara luar

  • Published in Berita Semasa


KUALA LUMPUR - Malaysia sedia berkongsi maklumat dan pengalaman dengan negara luar yang berminat untuk mempelajari kepakaran negara dalam bidang ekonomi digital.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad yakin perkongsian itu dapat meningkatkan potensi sektor berkenaan, sekaligus mampu menjadi inspirasi kepada negara lain.

Pertukaran komunikasi dan maklumat itu selaras dengan agenda dan hala tuju Program Maklumat Untuk Semua (IFAP) dan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Kerja Mengenai Maklumat Bagi Pembangunan (IFDWG) di Ibu negara.

Sementara itu, Pengerusi UNESCO IFAP, Dorothy Gordon berpandangan dasar polisi yang disediakan kerajaan dalam aspek digital ekonomi dilihat sangat membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat ke arah lebih baik.

Katanya langkah itu membolehkan perkhidmatan jalur lebar yang lebih meluas dan menggalakkan persaingan.

Mesyuarat Jawatankuasa yang dihadiri 20 delegasi dari sembilan negara itu bertujuan mengenal pasti isu-isu yang menghalang akses dan penyebaran maklumat, serta merangka garis panduan bagi membangunkan infrastruktur yang menggalakkan akses maklumat secara berkesan.