Monday, May 25, 2020

updated 12:38 PM UTC, May 25, 2020

Dua individu sebabkan kanak-kanak tercampak keluar dari kenderaan didakwa

  • Published in Berita Semasa

REMBAU, 18 Feb - Dua individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rembau atas tuduhan memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun cedera selepas tercampak keluar dari kenderaan.

Tertuduh, Nabil Hariz Jefridin, 23 tahun dan B. Thayalan, 20 tahun, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret, Tan Chai Wei, selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa telah memandu secara berbahaya kepada orang awam di laluan Ayer Keroh ke Senawang, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), 10 Februari lepas kira-kira pukul 3.21 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ummi Amyra Natasha Azhar menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil yang mewakili Nabil Hariz memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang pelajar universiti dan tidak mempunyai pendapatan.

Manakala Thayalan tidak diwakili peguam turut memohonan jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula.

Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan.