Monday, August 26, 2019
updated 5:31 AM UTC, Aug 26, 2019

Penduduk terjejas ribut : Bantuan disalur tanpa karenah birokrasi

  • Published in Berita Semasa

FOTO - RTM


SERDANG - Penduduk yang terjejas ribut di utara tanah air, baharu-baharu, akan dipastikan memperoleh bantuan sewajarnya dengan segera tanpa karenah birokrasi.

Jaminan disuarakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan memaklumkan, bantuan awal telah disalur selepas kejadian menerusi pusat khidmat wakil rakyat masing-masing.

Beberapa lagi bantuan susulan bakal ditentukan oleh agensi berkaitan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu turut menjelaskan, di peringkat kawasan beliau sendiri, kerosakan yang dihadapi penduduk terlibat telah dikenalpasti.

Masing-masing 80 penduduk terjejas di daerah Kulim dan 20 yang lain di Bandar Baharu.

Di Kedah sahaja, 1,358 rumah rosak akibat Taufan Lekima.

Datuk Seri Saifuddin terdahulu menghadiri Program Ibadah Korban Perdana Kulim/Bandar Baharu yang julung kali diadakan melibatkan pelbagai agensi.