Monday, August 26, 2019
updated 4:56 AM UTC, Aug 26, 2019

Kes 1MDB : Permohonan Datuk Seri Najib untuk tangguhkan perbicaraan ditolak

  • Published in Berita Semasa

FOTO - RTM


PUTRAJAYA - Mahkhamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB.

Perbicaraan bagi kes tersebut kekal pada 19 Ogos seperti yang ditetapkan sebelum ini.
Ia berikutan keputusan lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang sebulat suara menolak permohonan itu.

Keputusan dibuat selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan itu tidak terkhilaf dalam pelaksanaan budi bicaranya.

Justeru, perbicaraan kes 1MDB yang juga dikenali sebagai ‘Perbicaraan Tanore’ akan bermula pada 19 Ogos hingga 29 Ogos ini dan kemudian bersambung sepanjang September serta Oktober hingga 14 November ini.

Turut bersidang pada penghakiman tersebut ialah Hakim Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Seri David Wong Dak Wah, Datuk Rohana Yusof dan Tan Sri Idrus Harun.

Terdahulu, Datuk Seri Mohd Najib turut gagal dalam cubaan kali ketiganya untuk membatalkan kelayakan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Persekutuan pada 1 Mac lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan tersebut dengan alasan tiada bukti menunjukkan Sri Ram akan berlaku berat sebelah dalam menjalankan tugasnya dalam kes tersebut.