Wednesday, April 8, 2020

updated 11:58 AM UTC, Apr 8, 2020

Jemaah Haji Malaysia : Seorang meninggal dunia dan 6 lagi tidak dapat berwukuf

  • Published in Berita Semasa

FOTO - RTM


SYISYAH, ARAB SAUDI - Seorang jemaah Haji Malaysia meninggal dunia selepas selesai urusan melontar di Mina menjadikan ia kes kematian pertama ketika operasi Masyair.

Selain itu, enam jemaah haji Malaysia juga disahkan tidak dapat dibawa berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah lalu kerana masalah kesihatan yang serius.

Menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Saleh, jemaah haji tersebut meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang di Terowong Muassim selepas selesai ibadah melontar.

Jenazah disembahyangkan di Masjidil Haram dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Syaraik, Makkah.

Secara keseluruhannya, sembilan kematian jemaah direkodkan sepanjang operasi haji tahun ini.

Bagi kes melibatkan jemaah haji yang tidak dapat berwukuf, Fuziah memaklumkan, pihak Hospital Arab Saudi tidak dapat membenarkan jemaah dibawa keluar kerana masalah kesihatan yang kritikal.

Beliau memaklumkannya selepas melakukan lawatan ke Hospital Syisyah Tabung Haji.

Jemaah haji Malaysia yang kini berada di Mina akan melengkapkan ibadah melontar di Kompleks Jamarah sebelum mereka akan kembali ke Makkah bagi melengkap ibadah Haji dengan Tawaf dan Saie di Masjidil Haram.

Jarak pergi-balik antara perkhemahan jemaah Malaysia ke Kompleks Jamarah dianggarkan sejauh 7 kilometer melalui Terowong Muassim.

((RTM / SHAHRIL SARAPUDIN))