Wednesday, 23 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

300 pemilik unit rumah lama Pangsapuri Taman Segar, Cheras bakal mendapat unit kondominium baharu, secara percuma

  • Published in Semasa
 
KUALA LUMPUR  - Seramai 1,200 penghuni yang merupakan pemilik 300 unit rumah lama Pangsapuri Taman Segar, Cheras bakal mendapat unit kondominium baharu, secara percuma.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata unit kondominium berharga 300 ribu ringgit itu akan dilengkapi ciri moden dan hampir dua kali ganda lebih besar dari keluasan unit pangsapuri lama yang didiami mereka ketika ini.

Sejajar konsep penjanaan dan pembinaan semula bandar, usaha pemaju menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu melibatkan penggantian 3 blok pangsapuri kos rendah 5 tingkat berukuran 500 kaki persegi seunit kepada kondominium berkeluasan 900 kaki persegi seunit.

Penggantian kondominium itu dibuat memandangkan projek baharu akan dibina di atas tanah pangsapuri lama yang sudah berusia hampir 40 tahun.

Namun beberapa isu perlu diatasi terlebih dahulu sebelum ia dilulus dan dilaksanakan terutama memastikan keperluan pemilik asal unit pangsapuri, pemaju dan penduduk sekitar dipenuhi.

Ini termasuk mendapatkan persetujuan jaminan untuk mendapatkan unit kondominium masing-masing, isu kesesakan lalulintas dan kesan pembinaan projek terhadap komuniti sekitar.

Pihaknya menyokong usaha dilakukan pemaju iaitu Sri Binaraya Sendirian Berhad dan Upper Label Sendirian Berhad dan akan bertindak sebagai pemudahcara untuk memastikan usaha serupa dapat dicontohi pemaju lain.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Perjanjian Ganti Rumah Bagi Projek Pembangunan Semula Flat Kos Rendah Taman Segar di Cheras.