Thursday, August 22, 2019
updated 12:32 PM UTC, Aug 22, 2019

Agong tiba di Abu Dhabi lawatan khas 3 hari

  • Published in Berita Semasa

ABU DHABI - Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini berada di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sempena lawatan khas selama 3 hari bermula hari ini hingga Jumaat.

Baginda tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pada pukul 1.31 tengahari atau 5.23 petang waktu Malaysia.

Turut berangkat Tengku Amir Nasser Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keberangkatan tiba Sultan Abdullah di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, UAE disambut Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia Ke UAE, Dato' Syed Md. Hasrin Tengku Hussin.

Semasa lawatan khas ke UAE, Sultan Abdullah berkenan mengadakan pertemuan dengan komuniti Malaysia di Abu Dhabi dalam satu majlis minum petang.

Pada hari kedua lawatan, baginda akan diraikan dalam satu majlis sambutan rasmi dan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.

Pada hari terakhir lawatan, Sultan Abdullah dijangka berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Agung Sheikh Zayed.

Baginda juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri UAE , Sheikh Mansour
Zayed Al Nahyan.

Yang Di Pertuan Agong juga berkenan untuk melawat Muzium Louvre Abu Dhabi dan Wahat Al-Karama sebelum berangkat pulang ke tanahair pada pukul 7 malam.

((RTM/Shazan))