Monday, June 24, 2019
updated 12:39 PM UTC, Jun 24, 2019

Remaja dikhuatiri lemas di Sungai Jeram Besu Raub

  • Published in Berita Semasa

 

 

PAHANG - Seorang remaja dikhuatiri lemas kerana hilang selepas terjun ke dalam Sungai Jeram Besu di Sega, Raub, semalam.
    
Ketua Polis daerah Raub, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 7.05 malam itu, mangsa, Muhamad Muzzafar Shah Mohamad Rozi,13 tahun bersama dua rakan sedang bersiar-siar di kawasan rekreasi berkenaan.

Siasatan awal mendapati mangsa terjun kedalam sungai sedalam kira-kira 1.5 meter itu sebelum gagal dikesan kedua rakannya.

Dua rakan mangsa cuba menyelamatkannya namun gagal.

Mereka kemudian bertindak memaklumkan penduduk di kawasan itu yang menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sega digerakkan sepasukan pegawai dan anggota bomba.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, operasi mencari dan menyelamat dimulakan hari ini pada jam 7.40 pagi.

Operasi turut membabitkan anggota unit pasukan penyelamat di air (PPDA) JBPM Pahang, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dan penduduk kampung.