Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

PSP: Penerima BSH diminta semak kelayakan segera dalam talian elak tercicir

BANGI - Semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) disaran segera menyemak kelayakan mereka di dalam Program Subsidi Petrol (PSP) secara dalam talian melalui portal psp.kpdnhep.gov.my.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ia penting bagi membolehkan nama dan maklumat penerima yang tercicir dapat dikemaskini melalui fungsi rayuan dalam portal itu.

Katanya, akses pengguna ke portal tersebut telah mencecah hingga 1.6 juta capaian dalam tempoh tiga hari pertama sejak portal itu dibuka kepada orang ramai, Selasa lalu.

Dalam tempoh tersebut juga, sejumlah 221,000 pengguna sudah disahkan layak dan telah mengemaskini maklumat mereka.

Orang ramai dinasihat mengakses portal tersebut di luar waktu puncak bagi mengelak masalah capaian tergendala ketika mengemaskini maklumat PSP.

Beliau berkata demikian di Bangi, Selangor.

  • Ditulis oleh Media Baharu
  • Kategori: Berita Semasa
  • Jumlah paparan: 111