Wednesday, 1 February 2023

 

PRN Selangor, PH optimis menang sekurang-kurangnya 40 kerusi DUN

  • Published in Pilihan Raya

(Foto Bernama)

SHAH ALAM, 14 Januari- Pakatan Harapan (PH) menyasarkan kemenangan 47 daripada 56 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka berlangsung pertengahan tahun ini.

Pengarah Pilihan Raya Pusat, Rafizi Ramli berkata sasaran itu berdasarkan kelebihan PH yang kini menggalas tanggungjawab memulihkan ekonomi rakyat di peringkat Persekutuan.

Jelas beliau, data awal yang diperolehi menunjukkan PH berupaya memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi DUN Selangor.

"Melihat kepada data awal sebelum dapat data rasmi dari SPR, kita sepatutnya boleh pertahankan 40 kerusi, jadi daripada segi margin untuk mempertahankan Selangor agak besar dan selesa.

"Tapi kita pun tak nak selesa, sebab itu kita nak bermula awal dan sasaran macam saya sebut, ialah supaya kita dapat antara 45 ke 47 kerusi daripada 56," katanya.

(Rafizi Ramli)

Beliau ditemui dalam sidang media selepas melancarkan Konvensyen PRN Selangor, di sini hari ini.

Konvensyen sama akan turut dilancarkan malam ini di Kedah dan Pulau Pinang.

Manakala, Negeri Sembilan pada esok serta Kelantan, Terengganu dijadualkan minggu depan.

Tambah Rafizi, kempen PRN PH akan digerakkan selepas Tahun Baharu Cina.

PH turut optimis untuk pertahankan kemenangan tiga buah negeri pimpinannya iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.