Logo

Selangor tiada hasrat bubar DUN dalam masa terdekat - Amirudin

SHAH ALAM, 16 Mac- Kerajaan Selangor tidak berhasrat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan dalam masa terdekat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Hasil perbincangan saya dengan beberapa rakan Menteri Besar Pakatan Harapan (PH), kami sepakat adalah lebih baik dan berkesan jika pentadbiran ini diselesaikan sehingga penggal berakhir iaitu antara April dan Mei tahun hadapan.

"Bagaimanapun perkara itu masih bergantung kepada perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata ini kerana selepas dua tahun negeri itu menempuh jangkitan wabak COVID-19, banyak perancangan dan projek kerajaan negeri terpaksa mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Negeri Sembilan hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan dan perkara itu sudah dibincangkan bersama lima negeri lain ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 menyaksikan Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor dimenangi PH manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Semalam Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengeluarkan kenyataan bahawa DUN ketiga-tiga negeri di bawah pimpinan parti itu tidak akan dibubar sehingga tamat tempohnya.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.