Thursday, 26 May 2022

Sokongan rakyat Johor kembali pada MCA - Wee Ka Siong

  • Published in Pilihan Raya

(Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama calon-calon MCA yang memenangi 
kerusi Dewan Negeri Yong Peng, Pekan Nenas, Bekok dan Paloh)

JOHOR BAHRU, 13 Mac - Kejayaan MCA memenangi empat kerusi Dewan Negeri Johor, membuktikan sokongan rakyat Johor meningkat terhadap parti tersebut.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, paling menyerlah kejayaan merampas kerusi Dewan Negeri Yong Peng di mana MCA tewas selama dua penggal sebelum ini.

MCA juga berjaya memenangi semula kerusi Dewan Negeri Pekan Nenas, Bekok dan Paloh.

"Dalam konteks ini, tiga kawasan MCA yang kita kalah dua penggal berturut-turut, kita menang dengan majoriti yang agak selesa, untuk Paloh ini, dulu kita kalah tipis, tapi kali ini kita menang dengan majoriti agak selesa," kata beliau dalam satu sidang media, di sini.


(Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada sidang media di Johor Bahru)

Sementara itu, di kerusi Dewan Negeri Bekok, wakilnya, Tan Chong berhasrat memberi tumpuan kepada sektor eko pelancongan di kawasannya.

"Saya akan membangunkan eko pelancongan, pada tahun 2016, kita buat satu (program) eko pelancongan iaitu Jom Balik Bekok, pada masa tersebut, memang seluruh Malaysia (datang) daerah Bekok, mereka pergi melancong, satu hari dalam 30 buah bas ke Bekok," kata beliau.

Manakala pemenang kerusi Dewan Negeri Paloh, Lee Ting Ham pula mahu memberi fokus menyelesaikan isu tempatan seperti usaha menaik taraf fasiliti, perparitan dan peluang pekerjaan golongan muda.

"Dengan (adanya) pemimpin UMNO, MCA dan MIC di Paloh, kita dapat membentuk satu pasukan perkhidmatan, yang dapat memberi khidmat kepada warga DUN Paloh, berkaitan isu sosio ekonomi, isu tempatan, supaya kita dapat menunaikan janji kita," ujar beliau.