Thursday, 26 May 2022

PRU Dewan Negeri Johor: Menang 40 kerusi DUN melebihi sasaran, luar jangkaan - PM

  • Published in Pilihan Raya

(FOTO FB ISMAIL SABRI YAAKOB)

KUALA LUMPUR, 13 Mac - Kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor adalah di luar jangkaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ramai menjangkakan Barisan Nasional (BN) boleh menang dengan majoriti mudah 35 kerusi.

Namun, kemenangan di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam melebihi sasaran ditetapkan oleh parti.

"Saya percaya rakyat sudah boleh membuat perbandingan, dulu mereka tidak boleh membuat perbandingan sebab negara diperintah BN selama 60 tahun, ramai rakyat waktu itu melihat kelemahan BN.

"Tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 rakyat sudah boleh menilai dan ternyata apa yang dijanjikan oleh parti lain tidak dipenuhi walaupun sudah diberikan peluang oleh rakyat," kata beliau dalam hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.


(Foto fail/FB Ismail Sabri Yaakob)

Tambah Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, rakyat menilai siapa yang lebih baik dan terbukti BN prihatin membantu rakyat.

Disebabkan itu juga BN menang di Melaka dan di Johor kali ini, rakyat mudah membuat pilihan.

Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pengundi Johor kerana memberikan kepercayaan kepada BN untuk menerajui kepemimpinan negeri berkenaan.

Beliau meminta semua pihak menerima dengan hati yang terbuka, dengan melupakan pertandingan yang telah berlalu, untuk duduk bersama sebagai keluarga besar Keluarga Malaysia bagi membangunkan negeri Johor.