Tuesday, 29 November 2022

“Saya sedia lepaskan jawatan” - Muhyiddin

  • Published in Pilihan Raya

KULAI, 13 Mac- Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia bertanggungjawab atas kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan melepaskan jawatan sekiranya itu yang dimahukan oleh pimpinan parti gabungan itu.

“Saya bersedia jikalau itu yang ahli dan pimpinan parti buat keputusan kerana kedudukan saya adalah persetujuan pimpinan PN.

“Saya terima kerana kita (PN) mengamalkan sistem demokrasi dan itu adalah hak ahli parti atau parti komponen PN,” kata Presiden Bersatu itu dalam sidang media mengenai keputusan PRN Johor.

Bekas Perdana Menteri itu, akur dengan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Kami menang, kami kalah saya bertanggungjawab. Amanah saya pikul dan kalau ada rasa terkilan, saya terima. Saya dah buat terbaik dan semua kita sudah bekerja keras,” katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin

Muhyiddin berkata sebagai parti gabungan baharu yang bertanding pada pilihan raya, PN menghormati sistem demokrasi dan menerima keputusan rakyat Johor yang telah memilih BN untuk menerajui negeri berkenaan.

Meskipun PN hanya memenangi tiga kerusi daripada 56 dipertandingkan iaitu di DUN Bukit Kepong, Endau dan Maharani, namun secara umumnya parti gabungan itu diterima baik malah mendapat sokongan daripada pengundi Johor.

“Tahniah kepada semua calon yang bakal menjadi YB (Yang Berhormat). Kita harap mereka akan jalankan amanat yang diberikan kepada mereka dengan baik, berkesan dan mampu memajukan kawasan masing-masing.

“Kempen kita sudah laksanakan dalam tempoh PRN ini berjaya tarik perhatian rakyat Johor, cuma ia tidak mendapat cukup bilangan. Ini adalah petanda bahawa kita diterima cuma tidak sebesar diharapkan namun perjuangan akan diteruskan,” tambahnya.

Beliau turut berkata PN akan melakukan analisa serta pascanilai berkaitan keputusan pilihan raya negeri itu terhadap PN seperti mengetahui sebab parti gabungan itu tidak memenangi jumlah kerusi yang lebih besar.