Monday, 27 June 2022

BN kembali dapat mandat rakyat, 54.92% keluar mengundi

  • Published in Pilihan Raya

(Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh/BERNAMA)

JOHOR BAHRU, 13 Mac - Keputusan penuh PRU Dewan Negeri Johor menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan perkara itu dalam sidang media di SPR Command Centre, di sini malam ini.

"Daripada keseluruhan 56 kerusi, Barisan Nasional memperoleh 40 kerusi, Pakatan Harapan (11), Perikatan Nasional (3) dan masing-masing satu parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.

Menurutnya, pada PRU Dewan Negeri Johor ke-15 kali ini, seramai 1,426,573 atau 54.92% telah keluar mengundi.

"Jumlah tersebut meliputi jumlah pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos yang telah mengundi.

"Untuk keterangan lanjut berkenaan keputusan PRU Dewan Negeri Johor Ke-15, sila layari portal spr.gov.my," katanya.

PRU Dewan Negeri Johor menyaksikan sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka seawal 8.00 pagi tadi bagi membolehkan 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pemilih berdaftar mengundi.

(FOTO BERNAMA)

Ia juga merupakan pilihan raya pertama kali, anak muda diberi peluang memilih wakil rakyat mereka serta merasai pengalaman keluar mengundi.

Kumpulan itu melibatkan seramai 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.

PRU Dewan Negeri Johor menyaksikan seramai 239 calon daripada 15 parti politik bertanding untuk merebut 56 kerusi Dewan Negeri.

PRU Dewan Negeri Johor perlu diadakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Negeri Johor Penggal Ke-14.

Kerajaan negeri sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis, hanya 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, selepas kematian Ahli Dewan Negeri Kempas yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.