Saturday, March 28, 2020

updated 1:48 PM UTC, Mar 28, 2020

KKMM Atur Strategi Transformasi Nasional FM Untuk Kekal Relevan Dan Telus

 

Kuala Lumpur - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengatur pelbagai strategi di bawah Pelan Transformasi Nasional FM 2016 supaya stesen radio itu kekal relevan dengan peredaran semasa.

Timbalan Menterinya Datuk Jailani Johari berkata antara strategi yang diambil adalah pelaksanaan program khusus kepada golongan muda seperti 'Kafe Gen-Y' yang mula ke udara tahun ini dan program 'Radio di Lokasi' bagi mendekati penduduk di sesebuah kawasan.

"Langkah transformasi ini dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengekalkan kebergantungan dan kebolehpercayaan masyarakat kepada Nasional FM sebagai sebahagian daripada lidah rasmi kerajaan," katanya pada majlis sambutan ulang tahun keempat Nasional FM di Wisma Radio Angkasapuri.

Pelan transformasi itu diwujudkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 supaya mekanisme penyaluran maklumat dan berita rasmi negara kekal cekap, telus dan dipercayai masyarakat, katanya.

Jailani juga berkata strategi mempromosi Nasional FM melalui media cetak dan media sosial diperhebat dengan penyediaan bahan promosi setiap minggu bagi setiap program baharu yang diterbitkan.

"Penyampai radio juga digalakkan menggunakan media sosial ketika bertugas bagi menambah populariti saluran radio agar selalu dekat di hati masyarakat," katanya.

Jailani berkata, jalinan kerjasama antara Nasional FM dengan pelbagai agensi dan jabatan diperluaskan melalui program yang diterbitkan antaranya program 'Jelajah Ramadan 2016' bersama Jabatan Muzium Malaysia dan Rancangan Gen-Y pula bersama Kementerian Belia dan Sukan.

Dalam perkembangan lain, Jailani berkata tahun ini kementerian akan melaksanakan sepenuhnya fasa projek TV terestrial digital (DTT) sebelum meluaskan pelaksanaan pendigitalan radio.

"Selepas pelaksanaan perkhidmatan DTT di Pantai Timur tahun lepas, tahun ini kami (kementerian) akan meneruskan pelaksanaannya ke Sabah dan Sarawak, sebelum ke Lembah Klang.

"Pendigitalan radio akan dipertimbangkan apabila tiba masa sesuai, beberapa faktor perlu dilihat dalam proses pendigitalan, yang bukan sahaja melibatkan infrastruktur tetapi kandungannya juga harus berkualiti," katanya.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Nasional
  • Jumlah paparan: 222