Tuesday, January 28, 2020

updated 2:57 PM UTC, Jan 28, 2020

Angkasa Pulau Pinang Cadang Barang Koperasi Sekolah Dikecuali GST

Georgetown - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Pulau Pinang mencadangkan agar barangan yang dijual di setiap koperasi sekolah tidak dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pengerusinya Shaikh Ismail Md. Allapichay berkata, pihaknya akan membawa cadangan itu ke peringkat ANGKASA pusat sebelum dipanjangkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam masa terdekat.

"Pihak kami sedang mengumpul maklumat daripada semua 134 koperasi sekolah di Pulau Pinang sebelum membawa cadangan itu ke peringkat pusat dan seterusnya dalam perjumpaan dengan pihak kementerian di Kuala Lumpur pada 14 Jan ini.

"Barangan yang dijual di koperasi adalah untuk para pelajar, jadi sebaiknya tidak dikenakan GST bagi meringankan beban mereka," katanya selepas meninjau harga barang di Koperasi Sekolah Menengah Perempuan St George, di sini hari ini.

Sementara itu, Shaikh Ismail berkata pihaknya berpuas hati dengan kadar harga yang dikenakan koperasi-koperasi sekolah di negeri ini dan berkata ia lebih berpatutan berbanding pasaran luar.

"Jika ada dakwaan bahawa harga barang-barang di koperasi sekolah adalah mahal, itu tidak benar dan saya sarankan agar ibu bapa mendapatkan maklumat yang sahih daripada pengurusan koperasi sekolah sendiri," katanya.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Nasional
  • Jumlah paparan: 576