Wednesday, 8 February 2023

 

Projek ladang hutan perlu kelulusan EAI sebelum dilaksana- MB Perak

  • Published in Nasional


(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad)

IPOH, 25 Januari- Mana-mana projek berkaitan pembalakan atau pembangunan ladang hutan di Perak perlu mendapat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) terlebih dahulu sebelum boleh dilaksanakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya hanya menyediakan tapak projek namun kelulusan perlu diperoleh daripada EIA kerana ia merupakan peraturan ditetapkan.

“Ini bukan perkara haram, sebaliknya ia dibuat mengikut peraturan. Walau bagaimanapun ia bukan dibuat pada zaman saya menjadi Menteri Besar, tetapi telah diluluskan sebelum ini lagi.

“Berdasarkan maklumat, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dahulu pada awalnya meluluskan (permohonan) tanah seluas 100,000 hektar untuk projek ladang hutan di Perak.

“Namun ketika itu, kerajaan negeri membuat keputusan mengurangkan keluasan itu kepada 75,000 hektar dan kemudian 35,000 hektar dan akhirnya 32,000 hektar sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina di Ipoh.


(Datuk Seri Saarani (tengah) pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cinta anjuran
Dewan Perhimpunan Cina di Ipoh)

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Presiden Dewan Perhimpunan Cina Perak, Datuk Kwan Foh Kwai.

Saarani mengulas dakwaan mengenai perancangan Kerajaan Negeri merancang untuk membangunkan tanah hutan di Kledang Saiong kepada industri perkayuan melalui beberapa syarikat dilantik.

Pelaksanaan projek berkenaan akan dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan Negeri malah orang ramai juga boleh memberi pandangan melalui sesi pendengaran awam.