Wednesday, 8 February 2023

 

1,135 pegawai, anggota APM Negeri Sembilan siap siaga hadapi musim banjir

  • Published in Nasional

SENAWANG, 25 Januari- Sebanyak 90 kawasan di Negeri Sembilan disenaraikan sebagai kawasan tumpuan yang berisiko banjir.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohamad Nazri Meskam berkata seramai 1,135 pegawai dan anggotanya telah bersiap siaga bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlarutan hingga Mac nanti.

Pihaknya turut mendapat kerjasama beberapa agensi lain bagi membantu melancarkan pengurusan bencana di peringkat negeri.

"Kita sentiasa melihat kepada maklumat-maklumat terkini daripada meteorologi dan juga Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk pastikan apa-apa kejadian yang terkini, dan juga paras kenaikan air serta perubahan cuaca kita 'alert'. Kadang-kadang kami juga menerima panggilan terus dari orang kampung dan kita terus respon untuk melihat dan menilai situasi bencana yang berlaku," katanya.


(Pengarah APM Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohamad Nazri Meskam)

Beliau berkata demikian di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad.

Mohamad Nazri juga berkata pihaknya positif dalam berdepan dengan cuaca yang tidak menentu dan percaya dapat menjalankan peranan dengan sebaiknya.

Sementara itu, orang awam turut dinasihatkan supaya menyampaikan maklumat yang sahih bagi memudahkan urusan penyelamatan.