Wednesday, 8 February 2023

 

Projek SASaR Sateria Residensi dijangka siap hujung tahun depan - Mohamad

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 25 Januari- Projek pembinaan perumahan bagi program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Sateria Residensi Platinum South Valley, Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, di sini, yang bermula pada 2022 dijangka siap sepenuhnya penghujung 2024.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembinaan unit rumah itu merupakan strategi yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) yakin bahawa projek yang telah mencapai kemajuan 21.69% itu akan dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan bagi memastikan kebajikan warga kerja MINDEF dan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpelihara.

“Projek berkenaan melibatkan pembinaan lima blok kediaman meliputi 3,500 unit kediaman bagi tiga kategori berbeza mengikut saiz kediaman,” katanya dalam sidang media selepas meninjau tapak pembinaan perumahan SASaR, di sini, hari ini.

Menurutnya, projek berkenaan ialah satu daripada agenda teras MINDEF bagi menjaga kebajikan dan kualiti hidup warga kerja pertahanan yang merangkumi anggota tentera, warga awam MINDEF dan veteran ATM.

(Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah))

"Projek yang melibatkan lima blok kediaman meliputi 3, 500 unit kediaman itu telah mencapai kemajuan hampir 22%," katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.