Wednesday, 1 February 2023

 

Anwar tiba di Istana Nurul Iman, menghadap Sultan Brunei

  • Published in Nasional

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Nurul Iman pada pukul 11.05 pagi.

Kehadiran beliau yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah untuk menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang juga merupakan salah satu program dalam lawatan kerja rasmi beliau ke Brunei.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan di samping mengukuhkan lagi hubungan yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua buah negara.

Perdana Menteri bersama Sultan Brunei turut berkenan menyaksikan Majlis Penandatanganan bagi Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Lembaga Pelaburan Pembangunan Malaysia (MIDA) dan juga Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Memorandum persefahaman itu akan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA; Datuk Wira Arham Abdul Rahman yang mewakili Malaysia, manakala Brunei pula Pemangku Pengarah Urusan BIA; Sofian Mohammad Jani.

MOU ini antara lain memberikan pemahaman awal bagi kedua-dua buah negara untuk mengadakan rundingan ke arah perlaksanaan dan penyediaan perjanjian lanjut mengenai pelaburan dua-hala yang boleh dijalankan oleh pihak tertentu di antara Malaysia dan Brunei.


(Foto fail)

Rundingan ini turut merangkumi kerjasama serta pelaburan dalam sektor minyak dan gas hiliran, ekonomi digital, pembuatan pintar, pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI), pelancongan dan juga industri makanan halal.

Turut hadir bersama ke istana, Premier Sarawak; Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah; Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Luar Negeri; Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan juga Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.